Okay, this is the cerpen i won second (peringkat remaja) in Sayembara Noktah Putih. Enjoy! (:
Tajuk: Bangsaku Melayu
Namaku Alan bin Andrew. Bangsaku Melayu. Tarikh lahirku 21 Oktober 5201. Jantinaku lelaki dan negara kelahiranku ialah Singapura. Itulah yang terletak di kad pengenalanku.
MELAYU? Apa itu Melayu? Selama lapanbelas tahun aku bernafas di bumi ini tidak pernah kutahu maksud Melayu itu. Apakah mereka bangsa yang ayu ataupun mereka yang layu? Apa bezanya Melayu dari bangsa yang lain. Padaku sama sahaja. Tiada bezanya! Tetap menggunakan bangsa Inggeris ataupun bahasa Mandarin untuk berkomunikasi.
Terdetik di hatiku untuk mengetahui asal usulku. Namun, apakah gunanya? Selama ini tiada siapa pun yang mengambil berat tentang ini. Mengapa harus aku walhal aku sendiri pun tidak kisah. Melayu hanyalah perkataan yang tiada ertinya padaku. Perkara ini terus berlegar di kepalaku. Namun, tiada siapa yang boleh kukemukakan soalan ini.
Kota Singapura pula telah banyak berubah. Singapura lah antara negara yang paling maju di dunia ini. Kemodenan ini telah menyebabkan manusia menjadi semakin malas. Apa jua pekerjaan pun diserahkan kepada mesin. Tiada lagi berjalan kaki, tiada lagi memasak, menguruskan diri dan sebagainya. Begitu majunya negara Singapura. bagun pencakar langit berada di mana-mana sahaja. Keindahan alam pula semakin berkurangan.
ZUSS! ZASS! ZEUSS!
Begitulah bunyi mesin yang membawa manusia ke mana sahaja yang ingin mereka tujui. Semua orang terapung di udara. Tiada lagi senaman ringan yang dilaksanakan. Berjalan kaki pun terasa seperti payah. Manusia mesin atau lebih dikenali sebagai robot pula bersepah di mana-mana sahaja. Mungkin lama-kelamaan dunia ini akan dihuni oleh robot-robot pula. Sungguh aku tidak tahu apa yang akan berlaku dengan dunia ini.
Aku bingung melihatkan orang di sekelilingku. Warna kulit kita berlainan. Bangsa kita juga berlainan. Namun mengapa cara kehidupan kita seperti tiada bezanya. Tiada budaya, tiada identiti, tiada bahasa yang khusus dan tiada segala-galanya. Walaupun pada zahirnya perkara ini seperti tidak penting namun ia selalu mengganggu diriku. Hingga runsing fikiran aku dibuatnya. Walaupun pada hakikatnya aku tidak kisah. Namun keningingnanku untuk mengetahui tentang bangsaku melonjak-lonjak. Begitu kuat rasa ingin tahuku. Hampir setiap malam perkara ini akan membelenggu mindaku. Sudah puas aku mencari jawapan namun usahaku sia-sia sahaja.
“Alan, get your assignments done by tonight okay darling. Mummy’s going out for a while”, laung ibuku dari pintu hadapan.
“Yes mummy, i will”, balasku pula.
Sejak ku kecil bahasa yang kutahu hanyalah bahasa Inggeris dan Mandarin tetapi bahasa Mandarin hanya digunakan di sekolah kerana ia merupakan sebahagian dari subjek kurikulum di setiap sekolah.
“Aargh! So many assignments! Damn it!”, aku menyumpah-nyumpah di hadapan skrin komputer ribaku. Namun fokusku terhadap tugasan sekolahku tidak lama. Aku mengarahkan tetikusku ke ikon “Runescape” dan mengekliknya. Permainan ini memang hebat! Sesiapa sahaja mula bermain pastinya akan menjadi kecanduan kepada permainan itu. Tanpa kusedari berjam-jam aku di lelaman itu. Permainan itu sesungguhnya telah membuat aku hilang jejak akan masa yang terus berlalu.
TIK! TOK! TIK! TOK!
Tiba-tiba suatu lelaman baru muncul di hadapan skrin komputer riba milik aku.
“Hey there! Interested to know more about Malays? Click here! You won’t regret!”
Pucuk dicita ulam mendatang. Tanpa berlengah lagi dan tanpa berfikir panjang, Alan menekan ikon itu dan menanti akan apa yang akan terjadi seterusnya. Dia terus diserap masuk ke dalam komputer itu. Memang tidak masuk akal! Kejadian sebegini hanya berlaku di televisyen sahaja di dalam cerita-cerita kartun.
Dalam masa sesaat Alan sudah berada di alam lain. Alam yang sungguh asing jika dibandingkan dengan kota Singapura yang maju itu. Sunggup menakjubkan pemandangan di sekeliling alam yang asing itu. Bumi yang kehijauan dan meluas bagaikan tiada penghujung begitu mempersonakan. Sungai yang mengalir deras amat menyenangkan dan angin yang buta pertama kalinya begitu segar amat indah kurasa.
“My Goodness! Where on earth am i? Where is this place?”, aku terpaku tidak terkata.
“AWAS! BAHAYA! Ada pendatang haram!”, pekik seseorang dengan suara yang cukup lantang.
Aku terperanjat. Tidak sepatah pun aku fahami. Tiba-tiba seorang budak lelaki kecil yang muncul entah dari mana melompat kepadaku dari arah belakang lalu mengikat tanganku.
GEDEBUK!
Aku terjatuh tersembam ke tanah bagai nangka busuk. Sakitnya! Aku terpandang seorang lelaki di atas bukit.
“ Hoi anak muda! Siapa engkau dan apa engkau buat di sini?, soalnya.
Aku terdiam.
“Cis bedebah! Jawab soalan aku sekarang juga!”, sambungnya lagik.
Namun aku tidak dapat menjawab soalannya kerana aku tidak faham apa yang sedang diperkatakan olehnya.
Tiba-tiba aku terpandang seorang lelaki yang berpakaian sangat pelik. Rambutnya panjang dan badannya tegap ala-ala jaguh wrestling “Undertaker”. Dia megarahkan lelaki yang megikat tanganku agar melepaskanku.
“Wahai anak muda. Siapa nama kamu?”, tanya lelaki Undertaker itu.
Aku terketar-ketar ketakutan. Apa pula yang diperkatakan olehnya itu? Sesungguhnya aku tidak mangerti.
“I’m ss-oo-ry... I d-d-don’t understand you”, jawabku tergagap-gagap.
“Apa dia cakap Tuah? Aku tak faham. Teruknya budak ni sampai bahasa Melayu pun tak tahu. Hairan aku!”, ucap lelaki di atas bukit tadi.
“ISH! Begini kah orang Melayu sekarang? Pekatnya logat asingnya. Menyampah aku!”, sambung lelaki yang megikat tanganku lagi.
“Please don’t hurt me. I mean no harm. Really!”, aku cuba menjelaskan situasi yang sebenar.
“ Ewah! Ewah! Banyak songeh pulak budak ni. Aku bagi baru tahu!”, kata kanak-kanak di belakangku.
Lelaki yang diberi nama Tuah kelihatan megerutkan keningnya. AH! Aku meraba-raba kocek seluarku dan mengeluarkan subuah mesin kecil. Mesin penterjemah. Kuberikan alat pendengar kepadanya. Dengan bantuan alat pendengar yang telah diprogramkan itu, apa yang diucapkan oleh sesorang itu akan ditejemahkan kepada bahasa yang difahami oleh mereka.
Dengan ragu-ragu mereka mengambil alat pendengar itu lalu menyelitkan ke telinga mereka. Aku lantas memperkenalkan diriku sebagai Alan dan memberitahu apa yang telah kulalui dan bagaimana aku akhirnya tiba di sini.
“Oh begitu. Perkenalkan hamba Hang Tuah. Lelaki di atas bukit itu adalah Badang dan kanak-kanak di belakangmu ialah Nadim”, kata lelaki yang diperkenalkan sebagai Hang Tuah.
“Alan? Peliknya nama itu. Bunyi seperti alam. Hahaha!”, menyampuk si Nadim lalu yang lain ikut ketawa.
Aku hanya mendiamkan diri.
Dari situlah bermulanya persahabatan antara kami. Baru kutahu bahawa mereka yang kukenali adalah mereka yang telah mengukir sejarah dalam sejarah Melayu. Aku sungguh kagum mendengar cerita-cerita mereka tentang sejarah Melayu. Baru kutahu betapa beraninya mereka yang bergelar Melayu. Mereka yang berani berjuang demi menegakkan kebenaran. Pada petang itu aku lebih banyak berdiam dan mendengar daripada bercakap.
Dalam pukul enam setengah petang angin tiba-tiba menjadi kencang. Sudah tiba masanya aku kembali ke alam asalku. Hanya aku terapung-apung dibawa angin kencang itu.
“Kita akan jumpa lagi jika ada kesempatan!”, kata Hang Tuah sambil mengangkat tangannya.
WHOOSH!
Aku sudah kembali di hadapan komputer ribaku. Wahh! Ini benar-benar terjadi! Aku tidak bermimpi! Aku terdiam sejenak memikirkan apa yang baru sahaja berlaku. Aku menaip semula cerita-cerita yang telah kudengari dari rakan-rakanku sebentar tadi hanya untuk tujuan dokumentasi. Baru kuketahui sejarah Hang Tuah. Sejarah kisah Hang Nadim dan juga kisah Badang yang sangat kuat itu.
Aku masih teringat keluhan Hang Tuah. Katanya: Sungguh indah susunan aksara. Namun sayang sekali generasi sekarang seperti kamu sudah tidak mengenali asal usul serta identiti mereka sebagai orang Melayu. Malah dengan bangganya mereka mengikut gaya hidup bangsa lain dan dengan mudahnya mereka tewas kepada pengaruh Barat. Kemanakah hilangnya semangat dan kecekalan orang Melayu yang kental itu? Persoalan itu dibiarkan tidak terjawab. Malah, tiada sesiapa yang dapat menjawab soalan itu.
Bangsa Melayu memerlukan seorang penggerak. Seorang pemimpin yang bijak mengatur langkah menaikkan bangsa mereka sendiri. Bangsa Melayu harus sentiasa bersatu padu dan belajar berdikari kerana tiada sesiapa yang boleh membantu melainkan mereka yang membantu diri mereka sendiri. Lantas, nasib orang Melayu terletak di tangan mereka sendiri.
Memang benar kata Tuah. Namun, andai menyampaikan mesej ini kepada bangsaku begitu mudah sudah tentu perkara sebegini tidak akan berlaku. Tentunya bangsa, adat dan budaya Melayu akan terus hidup hingga kini. Namun, semuanya telah berlalu. Yang penting ialah situasi di masa hadapan. Apakah akan terus sama seperti sekarang atau akan ada perubahan? Sesungguhnya aku tidak tahu. Pengetahuanku tentang bangsaku sendiri masih cetek.
Tanpa disedari sebuah keluhan berat terlepas di bibirku.
“What are you thinking of dear? Are you having any problems? If so, tell mummy about it.”, tanya ibuku lalu menghampiriku.
“Err.. no.. I’m just tired”, aku cuba berdalih.
Aku tidak sedar bilakah ibuku memasuki kamarku. Jauh benar aku mengelamun hingga tidak sedarkan kedaan sekeliling.
Bilakah lagi aku akan berjumpa dengan mereka? Aku sendiri tidak pasti. Namun yang pastinya aku tidak sabar ingin berjumpa dengan mereka dan mempelajari tentang bangsa dan budayaku dengan lebih mendalam lagi. Aku ingin sangat tahu asal usulku.
Selang beberapa hari, aku masih lagi terus di alam realiti. Aku tidak senang duduk menanti masa untuk berjumpa dengan rakan-rakan baruku. Setiap hari aku akan membuka komputer ribaku dan menanti lelaman itu muncul namun sia-sia sahaja. Hari ini juga senyap. Tiada lelaman baru yang muncul secara tiba-tiba.
TITTT! TITTT!
Lelaman itu! Aku dengan pantas menekannya dan seperti biasa aku diserap masuk ke dalam komputer itu. Setibanya aku di alam asing yang semakin kusuka itu, aku berjumpa dengan Hang Tuah dan yang lain-lainnya. Mereka mengajarku untuk bersalaman. Pada kali ini kami berbual bual tentang adat Melayu yang dijunjung tinggi dari adat pemakaian hinggalah ke adat perkahwinan. Sungguh aku kagum mendengar penjelasan mereka. Baru kutahu bahawa apa yang dipakai di atas kepala Hang Tuah adalah tanjak. Namun seperti biasa, masa bersama mereka bagaikan berlalu dengan begitu pantas. Tepat jam enam setengah petanga aku kembali ke alam realiti.
Aku menaip kembali perkara yang telah kupelajari. Apa yang telah kulalui tidak diketahui oleh sesiapapun termasuk ibu bapaku. Aku lebih suka begitu. Entah mengapa berat untuk aku menceritakan perkara ini kepada mereka. Lagipula mereka seperti tidak ingin tahu tentang asal usul bangsa Melayu. Mungkin kerana inilah pupus dan lenyapnya bangsa dan bahasa Melayu di dunia ini. Andai aku hidup di zaman bangsa Melayu masih hidup, akan kuperjuangkan bangsaku agar terus hidup walau apapun terjadi.
Jika aku memberitahu mereka sekalipun aku yakin mereka tidak akan percaya akan kata-kataku. Tentunya mereka fikir bahawa aku sakit kerana pada hakikatnya mustahil untuk seseorang itu meresap masuk ke dalam komputer. Sungguh tidak masuk akal!
Apabila kukenang semula, sungguh tinggi budi pekerti seorang manusia yang berbangsa Melayu. Sungguh sopan bicaranya. Sungguh indah adat melayu itu. Amat berbeza dan ketara sekali dengan situasi di Singapura. Perempuan berpakaian terdedah. Bercumbuan dan berasmara di khalayak ramai seperti tiada apa-apa. Kemana hilangnya kesopanan dan rasa malu mereka? Ditelan dek zaman barangkali. Sungguh aku berasa bahawa aku harus lakukan sesuatu.
Aku mula melakarkan perancanganku untuk mengembalikan identiti bangsaku. Walau apa sekalipun aku harus mencuba. Sekurang-kurangnya aku mencuba. Namun, seperti yang telah mereka beritahu kepadaku, genggam bara api biarlah sampai menjadi arang. Akan kuingat kata-kata itu. Walaupun baru dua kali aku berjumpa dengan mereka namun aku sudah tangkap dan sudah mula mengerti bahasa Melayu. Mungkin disebabkan oleh kesungguhanku untuk mempelajari yang mengetahui tentang bangsaku.
Selang beberapa minggu maka terjadilah perjumpaan ketiga kami. Waktu untuk berjumpa dengan mereka terasa begitu lambat sekali. Kali ini kami dapat berbual dengan lebih lama sambil menikmati keindahan alam yang tidak dapat kunikmati di Singapura yang hanya dikelilingi bangunan pencakar langit. Sungguh membosankan! Aku dapat bermandi-manda di air sungai yang jernih itu sambil melihat kehijauan yang amat menyejukkan mata.
Aku meluahkan hasratku untuk meyedarkan bangsaku akan usul asal mereka. Namun, aku sangsi apakah aku akan berjaya? Aku berasa kurang yakin. Apakah sudah terlambat untuk aku melakukan ini semua. Apakah bangsa Melayu masih boleh diselamatkan lagi?
“Tidak wahai anak muda. Tidak apa yang sudah terlambat. Demi cinta terhadap bangsamu, bangkitkan lah mereka. Berikan lah mereka identiti baru agar mereka akan dapat lebih mengenali diri meraka dan asal usul mereka sendiri. Aku pasti kau akan dapat melakukannya kerana kau telah dipillih untuk melaksanakan tugas ini. Memang tidak mudah namun aku tahu ia tidak mustahil”, ujar Hang Tuah.
Aku terdiam memikirkan kebenaran kata-katanya. Iya! Aku harus melakukan sesuatu. Aku tidak boleh membiarkan bangsaku terus hanyut! Aku harus! Ini tanggungjawabku!
Nampaknya misi yang ingin mereka sampaikan kepadaku telah pun berjalan lancar dan kini tiba masanya untuk aku mengatur langkah. Ini juga bermakna bahawa aku akan berpisah dengan rakan-rakanku yang telahpun menjadi sahabatku. Aku berazam akan mencuba sedaya upaya agar matlamatku tercapai. Kami berpelukan sebelum berpisah. Mereka memberikanku kata-kata semangat agar aku terus berjuang demi bangsaku.
Semangat yang membakar di badanku masih berkobar-kobar dan kini aku mempunyai misi untuk diselesaikan. Misi mengembalikan semula identiti Melayu yang hilang. Misi yang bukan mudah namun tidak mustahil.
(2027 patah perkataan)
Labels: cerpen
simplistic_me posted at 5:24 PM


